Nak tahu cara untuk jana pendapatan dengan tukar hobi jadi duit? Kos hidup yang semakin meningkat, pengurusan kewangan perlulah semakin mantap. Bagi mereka yang makan gaji atau tidak mempunyai pendapatan yang tetap, mereka sentiasa mencari peluang untuk menambah pendapatan sampingan.

Tahukah anda, anda boleh jana pendapatan duit poket melalui hobi anda?

Menarik, bukan? Jom baca artikel ini.

Pengenalan

Hobi ialah aktiviti berfaedah yang dilakukan pada masa lapang.

Terdapat pelbagai jenis hobi yang secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada hobi yang memerlukan duit dan hobi yang percuma!

Hobi yang memerlukan duit, sebagai contoh ialah hobi yang memerlukan anda membayar yuran atau caj tertentu untuk melakukannya seperti yuran keahlian gimnasium, kelab memanah, kelab berkuda dan sebagainya.

Hobi yang percuma pula ialah hobi yang menggunakan minimum perbelanjaan untuk mengisi masa lapang seperti memasak, membaca. jogging, menulis dan sebagainya.

Bagaimana kita boleh tukar aktiviti hobi ini menjadi duit?

Berikut merupakan cadangan hobi yang boleh disalurkan menjadi penjanaan duit.

Imej via Pinterest

#1 Berkebun

Amalan berbudi kepada tanah dapat memberi banyak kelebihan kepada anda, antaranya menyihatkan tubuh badan dengan aktiviti fizikal menanam dan berkebun, menikmati hasil tanaman yang organik dan bebas racun, selain memelihara persekitaran yang hijau.

Ada juga yang boleh hilang stress dengan bercakap pokok-pokok yang ditanam!

Dengan tanaman ini, khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dijual kepada jiran tetangga atau dipasarkan di gerai jualan dan atas talian juga.

Selain itu, bagi mereka yang menggemari tanaman hiasan seperti pokok bunga, orkid, tanaman landskap dan sebagainya, terdapat kumpulan peminat di atas talian menerusi kumpulan Whatsapp dan Facebook yang sentiasa mencari jualan tanaman hiasan ini.

Lebih-lebih lagi sekarang barang jualan boleh dipasarkan di platform jualan atas talian seperti Shopee, Instagram dan Lazada, anda boleh menggunakan peluang ini untuk mengembangkan perniagaan jualan tanaman ini.

#2 Bermain Gadget

Dunia sekarang memang tak lengkap tanpa gadget seperti telefon pintar yang seolah menjadi kemestian bagi setiap individu.

Berikutan kepesatan teknologi dan internet, banyak sebenarnya peluang penjanaan pendapatan melalui gadget ini.

Pertama sekali, lahir banyak pakar membaiki gadget yang mempelajari cara-cara membaiki gadget melalui Youtube dan menyertai kumpulan perbincangan atas talian.

Mereka boleh menawarkan perkhidmatan membaiki, format atau memasukkan aplikasi dengan kadar yang lebih murah pada kualiti yang sama dengan kedai profesional.

Selain itu, permainan atas talian seperti Dota, PUBG, Mobile Legend dan sebagainya kini dikenali sebagai E-Sport dan telah diiktiraf oleh kerajaan untuk dikembangkan.

Banyak pertandingan dianjurkan sehingga peringkat antarabangsa yang menawarkan hadiah sehingga jutaan RM.

Oleh sebab itu, ibu bapa khususnya, perlu lebih cakna dengan minat permainan gadget anak-anak untuk menggilap bakat mereka atau mencegah obsesi melampau mereka.

#3 Menulis

Bagi mereka yang berkemahiran dalam bidang penulisan, anda boleh buat kompilasi penulisan dan dijual kepada umum.

Terdapat banyak syarikat penerbitan yang mencari penulis bebas ini untuk menghasilkan karya seperti koleksi puisi, cerpen dan novel.

Anda boleh mula menghantar draf manuskrip anda kepada e-mel syarikat penerbitan seperti Fixi, Dubook dan Alaf21.

Sekiranya diterima dan berjaya diterbitkan, selain mendapat bayaran hak cipta (lebih kurang 10% daripada percetakan pertama), anda juga akan menikmati royalti jualan apabila percetakan bertambah.

Kini, syarikat produksi drama dan telefilem turut mengalu-alukan skrip dari orang ramai. Anda yang gemar menulis boleh mula merangka plot skrip dan hantarkan ke syarikat produksi seperti JS Pictures, A.Aida Production dan KL Motion Pictures.

#4 Memasak

Imej via iLabur

Percaya atau tidak, memasak tidak memerlukan bakat, cuma minat dan kerajinan!

Dengan memasak, anda dapat mengisi masa lapang dan seronok dengan hasil masakan anda, malah mengenyangkan, daripada hidangan lauk-pauk hinggalah makanan pencuci mulut dan kuih-muih.

Apa kata anda gunakan kelebihan ini untuk dijadikan sebagai bahan jualan?

Pasaran makanan manis atau dessert seperti kek sangat mendapat tempat dalam kalangan masyarakat untuk pelbagai majlis keraian sepanjang tahun.

Tambahan pula, apabila anda sudah dikenali sebagai tukang masak, anda boleh anjurkan kelas memasak dengan kadar yuran yang bersesuaian.

#5 Mengumpul Koleksi Barangan

Ada sesetengah daripada kita yang suka mengumpul barangan unik atau rare seperti barangan antik dan setem untuk dijadikan koleksi peribadi.

Harga barangan ini pula akan meningkat apabila usianya bertambah, dan semakin tinggi nilainya apabila semakin sukar diperolehi.

Selain barangan berharga, barangan terpakai juga boleh dijadikan sumber pendapatan menerusi jualan preloved atau bundle.

Mengutip barang buangan seperti tin kosong, botol kaca, kotak dan kertas boleh dijadikan bahan jualan kepada peraih barangan ini.

Pendekatan ini sungguh menguntungkan banyak pihak apabila boleh dijadikan sebagai bahan jualan, kegunaan semula untuk mengelakkan pembaziran dan pemeliharaan alam sekitar.

#6 Bermain Sukan

Imej via iLabur

Bagi anak-anak yang gemar bermain sukan, mereka boleh digilap untuk menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan melalui penyertaan sebagai atlet.

Sebagai contoh, mereka yang gemar bermain bola sepak dan mempunyai bakat serta kemahiran yang berpotensi tinggi boleh menyertai sekolah sukan untuk diserap sebagai atlet kebangsaan.

Hal ini boleh diaplikasikan dalam lain-lain sukan seperti badminton, renang, larian dan tenis.

Pelbagai pihak perlulah mengambil tahu dan melihat potensi yang ditonjolkan oleh mereka yang memilih aktiviti sukan sebagai aktiviti hobi atau riadah.

Kecemerlangan atlet terjun negara, Bryan Nickson Lomas telah ditemui potensinya oleh guru sekolah beliau yang melihatnya gemar mengisi masa lapang dengan mandi sungai beserta aksi terjun di sungai berhampiran sekolahnya.

Gimnas negara, Farah Ann pula mendapat bimbingan dan sokongan yang padu oleh ibu bapa beliau untuk menyertai dan mendalami sukan gimnas sejak usianya masih kecil lagi.

Kesimpulan

Hobi yang kita anggap sebagai aktiviti sampingan, sebenarnya boleh menguntungkan kita dari segi memberi pulangan pendapatan.

Antara jenis hobi yang boleh dijadikan sumber pendapatan yang dicadangkan penulis ialah berkebun, bermain gadget, menulis, memasak, mengumpul koleksi barangan dan bersukan.

Namun, keseimbangan dalam aktiviti hobi untuk mencari pendapatan sampingan ini haruslah seimbang supaya tidak menjejaskan kualiti kehidupan dan tugas hakiki seharian kita.

Jemput juga baca artikel tentang:

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.