Urusan jual beli rumah subsale akan lebih mudah jika anda menggunakan khidmat ejen hartanah. Tetapi tidak bermakna kita perlu menyerahkan 100% urusan kepada ejen hartanah. Anda mesti juga tengok keadaan rumah yang hendak dibeli.

Jadi, anda boleh melawat dan memeriksa hartanah yang hendak dibeli bersama-sama dengan ejen hartanah. Setelah memeriksa rumah dan anda masih berminat dengan rumah tersebut, ejen akan meminta anda untuk membayar 3% @ 3.18% deposit daripada harga rumah sebagai “earnest deposit”/wang tanda jadi.

Ada juga yang perlu membayar “lock fee” terlebih dahulu sebagai tanda setuju untuk membeli rumah tersebut. Jumlahnya bergantung kepada agensi ejen tersebut. Kemudian, baru selesaikan lagi baki 6.82% @ 7% deposit semasa menandatangani SPA.

deposit rumah

Imej via Businesstech

Yang Perlu Anda Tahu Apabila Berurusan Dengan Ejen Hartanah Dan Deposit Rumah Ialah :

1. Pastikan berurusan dengan ejen hartanah yang berdaftar. Booking hendaklah dibayar ke akaun bank agensi ejen tersebut. Bukannya transfer duit booking ke akaun persendirian ejen atau membayar tunai ke ejen.

Kalau ejen tersebut kita sudah kenal tak jadi masalah. Kita boleh mengambil tindakan terhadap agensi sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga.

Macam mana mengenali REN yang berdaftar?

  • Biasanya ejen hartanah mempunyai kad kuasa tag berwarna merah. Dalam kad tersebut mengandungi nama, No. K/P dan nombor ID REN tersebut.
  • Semak di : http://lppeh.gov.my/. Klik “Search”.

Anda boleh dapatkan nombor telefon beliau dan nombor telefon pejabat. Dapat business kad lagi bagus. Ada juga kes REN yang sudah berhenti kerja lepas  itu menyamar jadi REN. Anda boleh sahkan sama ada REN tersebut masih bekerja di agensi dahulu atau tidak.

2. Booking boleh dibuat menggunakan cek, bank draf, melalui mesin deposit, secara online ataupun melalui mesin ATM. Simpan segala bukti pembayaran.

3. Sebelum membayar booking, pastikan ada perjanjian antara anda dengan penjual. Ia dikenali sebagai Letter Of Offer To Purchase (OTP). OTP ini ialah borang persetujuan hitam putih antara penjual dengan pembeli di atas harga jualan hartanah tersebut.

4. Pastikan di OTP tersebut ada maklumat :

  • Jenis hartanah.
  • Alamat penuh hartanah.
  • Jumlah nilai booking yang perlu dibayar.
  • Harga beli yang telah dipersetujui.
  • Tarikh.
  • Tandatangan penjual dan pembeli berserta saksi (ejen hartanah).

5. Antara syarat lain yang terdapat dalam OTP ialah tempoh di antara tarikh booking dan tarikh menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA), biasanya antara 14-21 hari bekerja.

6. Anda haruslah mendapatkan kepastian dengan ejen hartanah sekiranya pembiayaan perumahan anda tidak diluluskan. Anda perlu tahu apa akan jadi dengan duit booking tersebut sama ada dipulangkan ataupun hangus begitu sahaja.

Biasanya jika pembiayaan perumahan anda oleh pihak bank tak lepas, deposit akan dipulangkan balik. Jadi, anda harus tanya ejen betul-betul.

7. Pastikan anda mendapat salinan OTP untuk simpanan.

8. Setelah peguam menyiapkan SPA, penjual dan pembeli akan menandatangani SPA ini. Sebagai pembeli anda perlu membayar baki 6.82%-7% sebagai baki wang deposit 10% kepada penjual.

Baki 90% harga jualan rumah pula perlu dibayar dalam masa tiga bulan daripada tarikh SPA ataupun mengikut tarikh yang dipersetujui.

9. Proses siapkan SPA akan dilakukan oleh peguam. Namun anda perlu sentiasa “follow up” dengan peguam tersebut.

10. Peguam akan memastikan bahawa rumah yang dibeli tidak mempunyai tunggakan bil cukai pintu, cukai tanah, air, elektrik, penyelenggaraan dan sebagainya.

Setelah selesai kesemuanya, peguam akan menyerahkan baki harga jualan 90% kepada penjual dan dalam masa yang sama, penjual perlu menyerahkan kunci kepada peguam. Setelah itu, kunci pula akan diserahkan kepada pembeli.

Berhati-hati semasa mahu beli rumah. Zaman sekarang, ramai yang sanggup buat apa saja demi wang. Jangan mudah terpedaya dengan skim rumah murah. Mungkin rumah itu tak wujud pun. Duit anda sudah lesap.

Semoga kita semua tidak tertipu dengan golongan yang suka mengambil kesempatan ini. Sebab itu kena ada ilmu.

Anda kena semak dulu CCRIS dan DSR anda sebelum beli hartanah. Semak kelayakan pembiayaan yang bank boleh bagi mengikut pendapatan anda. Maka, tidak ada lah lepas sudah bayar booking, bank tolak pembiayaan perumahan anda.

Fuh, pening kah? Kalau pening, perlu banyak membaca tentang ilmu hartanah lagi.

Share jika bermanfaat.

Penulis: Amir Syahir

Amir Syahir

Rajin berkongsi ilmu hartanah, pengurusan kewangan, tips ASBF dan ilmu yang bermanfaat. Ikuti lagi tips-tips menarik tentang ASBF terutamanya di Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.