Apabila kita sudah mula bekerja, semestinya kita akan berfikir untuk menambah aset dalam kehidupan iaitu rumah. Harga rumah semakin hari semakin meningkat dan susah untuk membeli rumah kerana banyak proses yang perlu dihadapi. Ya, betul. Mahu memiliki sebuah rumah bukan mudah.

Tidak salah jika mahu membeli rumah pada usia yang muda dan baru bekerja. Tetapi jika tiada perancangan dan disiplin diri, lama-kelamaan ia akan memakan diri sendiri satu hari nanti. Jadi, berhati-hati ketika membuat keputusan untuk membeli rumah.

Lebih-lebih lagi, rumah yang ingin dibeli itu perlulah mengikut kemampuan diri dan gaji sendiri. Jika tidak, pihak bank tidak akan meluluskan pembiayaan rumah. Oleh sebab itu, sebelum membeli rumah kita perlu ada ciri-ciri yang baik.

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai ciri-ciri yang perlu ada dalam diri sebelum membeli rumah. Info ini dikongsikan oleh Encik Harith Faisal. Beliau gemar berkongsikan tips mengenai hartanah secara santai. Selain itu, beliau juga selalu memberi motivasi mengenai kewangan untuk anak-anak muda di laman Facebooknya. Tips yang diberikan juga sangat mudah untuk difahami.

Imej via Halalmoney

5 Ciri-ciri sebelum membeli rumah

1. Gaji bersih minima RM2000

Kerja tetap bergaji RM2,000 minimum. Yang ni simple sangat. Katakan bank membenarkan maksimum komitmen bulanan adalah 50%. Jadi, RM2,000 x 50% = RM1,000. Kita boleh beli rumah lebih kurang harga RM200K maksimum.

2. Duit tepi RM1000

Duit tepi RM1,000 maksudnya kau kena buat side income lah. Nak mengharap gaji yang sedia ada tu, bila pula nak cukup modal untuk beli rumah pertama tu kan.

3. Tangguh beli kereta

Tangguh beli kereta ni sangat penting sebab anak muda biasanya “tertipu” dengan komitmen kereta. Ingat beli Myvi bayar bulanan kat bank RM500 itu saja komitmen. Tidak masuk lagi road tax, takaful kereta, tol, parking, dengan harga petrol. Paling kurang kena ‘spend’ RM1,000 sebulan pada kereta saja. Banyak sungguh. Sudahnya, kau tak dapat simpan duit langsung. Gaji RM2,000 bukan besar sangat ya.

4. Simpan 50% gaji

Bank suka orang macam ni. Kalau gaji RM2,000 simpan separuh dah dapat RM1,000 sebulan. Campur ‘side income’ tadi yang RM1,000 dapatlah RM2,000 sebulan simpan dalam Tabung Haji dan ASB. Konsisten 12 bulan, dah ada RM24,000 tidak campur dividen lagi. Guna RM15K untuk modal beli rumah, baki lagi RM9K buat sebagai dana kecemasan.

5. Bayar pinjaman PTPTN

Apabila kena bayar PTPTN tu, gagahkan diri untuk bayar setiap bulan tanpa gagal. Sekarang ini PTPTN dah masuk CCRIS. CCRIS ni macam buku laporan kewangan. Jika tidak bayar PTPTN, maka CCRIS pun akan teruk.

*Hanya perlu ada 5 ciri-ciri seperti di atas, Insyaallah impian ingin membeli rumah akan tercapai. Mungkin kurang dari 5 tahun bekerja, akan memiliki sebuah rumah sendiri. Apa yang penting, kita perlu konsisten dan disiplin diri dalam menguruskan wang. Jangan membazir. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

aqirah

Penulis di iLAbur yang suka berkongsi tentang ilmu dunia kewangan untuk generasi muda.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.