Ingin ketahui tips dan cara mohon kerja secara online?

Pada zaman moden sebegini, kadangkala kita tak perlu susah-susah datang ke bandar untuk temuduga kerja. Teknologi kini yang semakin maju membolehkan kita untuk memohon kerja secara atas talian sahaja.

Kebanyakan majikan juga mengiklankan jawatan kosong di kebanyakan laman web. Bagi individu yang berminat, mereka hanya perlu mengemelkan borang-borang yang dikehendaki tanpa perlu datang ke syarikat itu sendiri.

tips memohon kerja online

Imej via iLabur

Dahsyat juga penangan teknologi kini, bukan? Namun, permohonan kerja secara atas talian tidaklah semudah itu. Jadi, berikut kami sertakan tips memohon kerja secara online buat anda. Teruskan membaca!

#1 Jangan Tanya Soalan Yang Sudah Ada Jawapan

Ini salah satu pantang larang utama dalam memohon kerja secara atas talian. Bukan dalam aspek itu sahaja, malah dalam kehidupan sebenar pun jika anda tanyakan soalan yang sudah terang-terangan dinyatakan, boleh kena halau!

Untuk itu, kami cadangkan agar anda baca dulu spesifikasi yang dinyatakan syarikat tersebut sebelum anda menanyakan sebarang soalan kepada mereka. Tidak salah bertanya, namun anda harus sedar batasnya.

#2 Guna Alamat Emel Yang Sesuai

Walaupun alamat emel dilihat sebagai perkara yang remeh, namun ianya mampu mencerminkan keperibadian seseorang individu. Sesetengah majikan yang teliti juga akan menitikberatkan perkara-perkara sebegini.

Alamat emel anda seeloknya menggunakan nama sebenar anda. Dari sini, majikan akan nampak yang anda seorang individu yang profesional dan tidak menekan butang ‘padam’ tanpa membaca kandungan emel anda.

#3 Elakkan Meniru Membuta Tuli

Nah, ini satu lagi pantang larang yang harus anda ingat sebelum memohon kerja secara atas talian. Perkara ini juga merupakan antara punca utama kebanyakan graduan tidak diterima kerja – meniru membuta tuli.

Tidak salah meniru, namun anda harus berpada-pada. Format dan susunan ayat yang cantik boleh dijadikan inspirasi, namun tukarlah butir-butir penting seperti nama majikan dan nama syarikat. Meniru pun harus bijak tau!

#4 Subjek Emel Yang Sesuai

Kami yakin pasti sesetengah pembaca tidak meletakkan subjek setiap kali menghantar emel, bukan? Mungkin subjek emel kelihatan seperti perkara biasa, namun semasa memohon kerja, perkara ini tidak patut dipandang enteng!

Sebelum melihat kandungan emel anda, semestinya subjek emel akan diberi perhatian oleh sesebuah syarikat terlebih dahulu. Jadi, gunakanlah subjek yang sesuai sebelum menekan butang ‘Hantar’. Contoh – Permohonan Kerja Untuk Jawatan Kerani.

#5 Kandungan Emel yang Ringkas dan Padat

Ini dia salah satu aspek yang paling penting dalam memohon kerja secara atas talian – semestinya kandungan emel! Agak-agaknya, kandungan emel jenis yang bagaimana yang akan menarik perhatian majikan untuk menerima permohonan kerja?

Semestinya kandungan emel yang ringkas, namun padat! Mungkin sesetengah individu menganggap yang kandungan emel yang panjang berjela akan menarik perhatian majikan, namun tanggapan itu salah!

Hal ini kerana, kebanyakan syarikat terutamanya syarikat besar pasti menerima emel yang banyak. Dalam sehari, mungkin beribu. Jika emel anda sepanjang tesis, berkemungkinan mereka malas untuk meneliti kandungannya.

#6 Ucapan Selamat dan Penutup yang Sopan

Perlu diingat yang pembuka serta penutup kata yang sesuai juga tidak seharusnya anda terlepas pandang dalam memohon kerja secara atas talian. Kebanyakan majikan juga mementingkan perkara sebegini.

Sama seperti format surat rasmi, anda seharusnya menggunakan ucapan selamat yang sopan dan sesuai. Ucapkanlah kata-kata penghargaan seperti ‘terima kasih’ untuk mengambil hati bakal majikan anda.

#7 Susunan Ayat Yang Cantik dan Teratur

Walaupun permohonan kerja ini bukanlah sejenis peperiksaan bahasa, anda harus ingat bahawa susunan ayat untuk kandungan emel memang amat dititikberatkan oleh syarikat. Ianya juga mencerminkan profesionalisme seeorang individu.

Oleh itu, gunakanlah susunan ayat yang teratur. Tak perlu guna ayat yang bombastik untuk menarik perhatian mereka, hanya perlu guna ayat yang ringkas dan padat dengan informasi berkaitan permohonan kerja anda.

#8 Nyatakan Tarikh Yang Sesuai

Kadangkala, walaupun permohonan kerja anda sudah hampir sempurna, aspek sebegini juga tidak seharusnya anda lupakan – tarikh penerimaan untuk bekerja. Jika tarikhnya tidak sesuai, semestinya anda akan terlepas peluang.

Contohnya, nyatakan tarikh anda tamat belajar serta tarikh yang membolehkan anda untuk bekerja bersama syarikat yang dimohon. Jika terlalu lambat pun boleh membawa padah, jadi janganlah memandang ringan soal ini ya!

# 9 Format Lampiran Fail Yang Sesuai

Jangan memandang ringan soal format lampiran fail yang disertakan dalam emel anda. Secantik mana pun susunan ayat untuk kandungan emel, tidak berguna juga jika format lampiran fail yang digunakan tidak sesuai.

Seeloknya, gunalah format .pdf untuk lampiran yang disertakan. Jika anda guna format .docx, dikhuatiri kandungan fail anda boleh diubah sesuka hati. Bukanlah mahu anda bersangka buruk, namun anda harus berhati-hati.

# 10 Semak Kandungan Emel Sebelum Menghantar

Sama seperti peperiksaan yang anda duduki semasa di universiti, kandungan emel yang bakal dihantar semestinya harus disemak beberapa kali. Tapi, kesalahan kecil pun majikan nak marah ke? Semestinya!

Kesalahan-kesalahan yang boleh dielakkan seperti kesalahan ejaan, kesalahan nama syarikat, kesalahan tahun merupakan antara yang seharusnya anda elak.

Kesimpulan

Semangat sudah mula berkobar-kobar untuk memohon kerja secara online ke? Kami tidak berani jamin yang tips ini akan memberikan peluang kerja yang anda idamkan, namun tidak salah untuk mencuba. Mana tahu ada rezekinya buat anda?

Semoga artikel tips memohon kerja secara online ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang tips mencari kerjaJangan lupa kongsikan di media sosial dan juga kepada rakan-rakan!

Rujukan

1. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1164039206965468&set=pcb.1164043633631692&type=3&theater

2. https://blog.maukerja.my/ms/tips-ringkas-untuk-memohon-kerja-melalui-email-dengan-betul

 

Penulis: hani

hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.