Jom baca artikel ini yang akan membantu anda memahami hak sebagai pengguna dan apa yang perlu dibuat untuk memastikan hak anda sebagai pengguna dipelihara.
Pengenalan
Seringkali jika kita melakukan urus niaga, apabila kita rasa tertipu dengan produk atau perkhidmatan yang diberikan, ramai antara kita yang akan mengambil pendekatan untuk “pejam mata je” kerana menganggap perkara ini sebagai hal yang remeh.
Tahukah anda, sebagai pengguna, anda mempunyai hak untuk melaporkan perkara yang merugikan kita seperti harga yang tidak masuk akal, kualiti barang yang tidak setanding harga, keselamatan produk jualan yang tidak diyakini dan sebagainya.
Sebagai pengguna bijak, kita harus sedar akan tugas ini untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa. Hal ini mampu membendung gejala “cekik darah” dan mengelakkan pengguna-pengguna lain untuk terus tertipu.
Latar Belakang Tribunal
Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyediakan saluran untuk menerima, memproses dan menguatkuasa undang-undang ke atas setiap laporan pengguna menerusi sistem yang dipanggil TRIBUNAL.
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah suatu badan kehakiman bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan mula berkuatkuasa pada 15 November 1999.
Bahagian XII Akta mengandungi 37 seksyen berhubung dengan Tribunal Tuntutan Pengguna seperti keanggotaannya, bidang kuasa, prosiding, award-award yang dibuat dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Objektif Tribunal
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] yang berfungsi untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan oleh pengguna di bawah Akta 599 dan tertakluk kepada peruntukan Akta tersebut.
Sebelum penubuhan Tribunal, semua pertikaian antara pengguna dan peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan difailkan dan didengar di mahkamah sivil yang mana melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan memakan masa panjang.
Ini adalah antara sebab mengapa pengguna keberatan untuk membuat tuntutan mereka terhadap peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab dan beretika di mahkamah sivil walaupun Mahkamah Tuntutan Kecil telah ditubuhkan di setiap negeri untuk mendengar tuntutan tidak melebihi RM5,000.00.
Justeru itu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna menuntut tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang MUDAH, MURAH dan CEPAT.
Bidang Kuasa Tribunal
Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar :
- Tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barangan dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa Tribunal;
- Jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00; dan
- Tuntutan dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa batasan bidang kuasa Tribunal.
Batasan Bidang Kuasa Tribunal
Tribunal TIDAK mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan :-
- Berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
- Bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
- Pertikaian mengenai hakmilik kepada mana-mana tanah atau estet atau kepentingan mengenai tanah;
- Pertikaian mengenai hak mana-mana orang di bawah suatu wasiat atau kematian tak berwasiat;
- Pertikaian berkaitan dengan hal-hal –
- Francais
- Nama baik
- Rahsia perdagangan atau harta intelek lain;
- Apa-apa hak dalam tindakan; dan
- Apabila mana-mana tribunal telah ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan berkaitan perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.
Jenis Tuntutan Tribunal
Pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal untuk menuntut tebus rugi bagi kerugian berkaitan kepentingannya sebagai pengguna di bawah Akta 599 yang berbangkit daripada perkara berikut:
- Perlakuan yang mengelirukan atau memperdaya berhubung dengan barang mengenai sifat, proses pengilangan, ciri-ciri, kesesuaian bagi sesuatu maksud, kualiti dan kuantiti barang itu;
- Perlakuan yang mengelirukan dan memperdaya berhubung dengan perkhidmatan mengenai sifat, ciri-ciri, kesesuaian bagi sesuatu maksud, kualiti dan kuantiti perkhidmatan itu;
- Representasi palsu atau mengelirukan berhubung dengan barang bahawa barang itu –
- adalah daripada jenis, standard, gred, kualiti, kuantiti atau model tertentu;
- mempunyai sejarah tertentu atau kegunaan tertentu atau berasal daripada tempat tertentu;
- baru atau baru dibaikpulih;
- telah dikilangkan, dikeluarkan, diproses atau dibaikpulih pada suatu masa tertentu;
- mempunyai apa-apa tajaan, kelulusan, pengendorsan, gabungan, ciri-ciri pencapaian, aksesori, kegunaan atau faedah;
- Representasi palsu atau mengelirukan berhubung dengan perkhidmatan bahawa perkhidmatan itu –
- jenis, standard, kualiti atau kuantiti tertentu;
- dibekalkan oleh mana-mana orang tertentu atau oleh mana-mana orang yang mempunyai daya ketukangan, kelayakan atau kemahiran tertentu; atau
- mempunyai apa-apa tajaan, kelulusan, pengedorsan, gabungan, ciri-ciri pencapaian, aksesori, kegunaan atau faedah;
- Gambaran yang mengelirukan mengenai harga yang padanya barang atau perkhidmatan boleh didapati;
- Tawaran apa-apa pemberian, hadiah atau barang percuma lain dengan niat untuk tidak mengadakannya atau tidak mengadakan sebagaimana yang ditawarkan;
- Maklumat yang memperdayakan bahawa barang yang ditawarkan adalah terhad.
- Penerimaan bayaran bagi barang atau perkhidmatan dengan niat untuk tidak membekalkan barang atau perkhidmatan itu atau berniat membekalkan barang atau perkhidmatan yang berbeza daripada barang atau perkhidmatan yang berkenaanya bayaran diterima;
- Membekalkan atau menawarkan atau mengiklankan untuk membekalkan apa-apa barang atau perkhidmatan yang tidak mematuhi tahap keselamatan yang ditentukan berkenaan dengan apa-apa barang atau perkhidmatan atau kelas barang atau perkhidmatan;
- Hak terhadap pembekal barang berkenaan dengan jaminan berkaitan dengan barang mengenai –
- hakmilik;
- kualiti boleh terima;
- kesesuaian bagi maksud tertentu;
- bahawa barang mematuhi sampel atau perihal;
- harga munasabah;
- pembaikan dan barang ganti; dan
- kebolehdapatan barang yang serupa pada masa hadapan
- Hak terhadap pembekal perkhidmatan berkenaan dengan gerenti berkaitan dengan perkhidmatan mengenai:-
- ketelitian dan kemahiran munasabah;
- kesesuaian bagi maksud tertentu;
- masa siap yang munasabah;dan
- harga munasabah yang dikenakan.
Cara Memfailkan Tuntutan
- Pemfailan di mana-mana kaunter TTPM di Pejabat-pejabat Negeri seluruh Malaysia termasuklah di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan; atau
- Pemfailan secara online di https://ttpm.kpdnhep.gov.my; dan
- Fi pemfailan sebanyak RM5.00.
Kesimpulan
Semoga lebih ramai masyarakat awam sedar akan hak kita sebagai pengguna untuk membuat aduan berkenaan kualiti produk dan perkhidmatan.
Usaha kerajaan untuk memperkenalkan sistem aduan setempat ini wajar dipuji dan dimanfaatkan kerana telah memudahkan urusan seharian kita.
Rujukan
- https://www.kpdnhep.gov.my