Pada usia yang muda ini, banyak perkara yang perlu difikirkan. Lebih-lebih lagi bagi orang dewasa yang berumur awal 20-an. Waktu ini, banyak perkara yang perlu dipelajari terutama sekali dari segi pengurusan kewangan. Umur-umur sebegini memang tidak hairan jika kita mengalami masalah kewangan kerana ia adalah fasa untuk kita belajar.

Jadi, kita perlu tetapkan pendirian kita agar kita tidak mengalami masalah kewangan masa depan. Setiap orang mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, memiliki sebuah rumah sebelum berumur 30 tahun, mempunyai keluarga sendiri atau selesaikan semua hutang.

Pelbagai matlamat yang ingin dicapai sebelum mencecah umur 30 tahun. Tetapi ada 10 matlamat yang perlu dicapai oleh golongan berumur 20-an sebelum berumur 30 tahun.

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 10 matlamat sebelum berumur 30 tahun. Info ini dikongsikan oleh Encik Amir Syahir. Beliau gemar berkongsikan tips mengenai ilmu hartanah dan pengurusan wang. Selain itu, beliau juga berkongsikan tentang tips ASBF.

Imej via Halalmoney

10 Matlamat yang perlu dicapai sebelum berumur 30 tahun

1. Mempunyai Sumber Pendapatan Sendiri

Tak kiralah apa pun pekerjaan kau yang penting kerja yang halal dan sah di sisi undang-undang. Kau sudah ada kerja yang kau suka. Kau boleh hadapi tekanan kerja. Kau ada pendapatan yang baik dan tetap.

Apa yang penting usaha. Usaha cari pendapatan dan stabilkan keadaan ekonomi kau. Bukan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

2. Menguruskan Kewangan Dengan Baik

Tidak kiralah apa pun kerja kau sama ada kau bekerja sebagai kejuruteraan pam minyak ataupun kejuruteraan cashier, kau mestilah sudah mahir menguruskan hal ehwal kewangan sendiri. Kau dapat bezakan yang mana kehendak dan keperluan. Kau tahu aliran keluar masuk wang kau. Ini tidak, bila dapat gaji, duit kau terus pupus tak tahu ke mana.

Buat bajet kewangan. Bila dah dapat gaji, rancang apa yang perlu dibayar, apa yang perlu dibeli dan sebagainya. Barulah kewangan kau akan lebih terurus.

3. Mempunyai Tabung Simpanan

Mempunyai beberapa tabungan. Buatlah tabung simpanan, tabung kecemasan, tabung pelaburan, tabung umrah, tabung percutian dan pelbagai tabung untuk kegunaan kau. Tabung/dana kecemasan ini sangat penting di saat kau menghadapi ujian atau masalah. Sediakan tabung kecemasan sekurang kurangnya 3-6 bulan gaji kau.

Kalau kau tak dapat simpan banyak, cubalah simpan dengan nilai yang sedikit terlebih dahulu. Asalkan menyimpan.

4. Membeli Sekurang-kurangnya Sebuah Rumah Sebagai Aset

Membeli sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai aset. Ya. Rumah. Sudah mula bekerja sila setkan minda membina tabung untuk membeli rumah. Jika kau membeli rumah sebelum umur 30 tahun, ansuran bulanan menjadi rendah disebabkan boleh ambil tempoh pembiayaan yang panjang. Rumah mahal? Tak mampu simpan untuk deposit rumah? Teruskan menggali ilmu hartanah ni. Jangan duk main Facebook je.

5. Mempunyai Pelan Pelaburan

Melaburlah dengan bijak. Jauhi skim cepat kaya, skim yang membawa keuntungan cepat. Realiti kekayaan tiada jalan pintas. Kalau berjaya kaya cepat pun, tak kekal lama. Banyak pelaburan di Malaysia yang dijamin kerajaan contohnya ASB. Simpan di tabung haji pun boleh juga asalkan tetap dan berterusan dan lebih 10% gaji setiap bulan.

Keupayaan melabur sebenarnya bergantung kepada keupayaan kau mengawal kehendak diri sendiri. Jangan cakap tak mampu sebelum mencuba. Tak mampu melabur banyak, melaburlah dalam nilai yang kecil terlebih dahulu.

6. Mempunyai Perlindungan Pelan Takaful

Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Jadi, sediakan tabung untuk pembiayaan masa kau sakit nanti ataupun ditimpa kemalangan. Ambil takaful masa muda. Takaful itu penting.

7. Memiliki Kenderaan Bersesuaian Dengan Kemampuan Gaji

Beli kereta tak salah. Yang salah adalah membeli kereta yang tidak sepadan dengan gaji. Gaji ciput tapi beli Honda City susah la. Habis separuh gaji buat bayar ansuran kereta. Nak makan pun duk pinjam kawan. Makan megi takpe, janji kunci kereta ada huruf H.

Ukur baju di badan sendiri. Beli kereta yang bersesuaian dengan pendapatan kau. Ini tidak, tak nak kalah dengan kawan yang pakai Honda City. Tengok la dulu. Gaji dia berapa dan gaji kau pula berapa.

8. Belanja Mengikut Kemampuan

Tak perlu bergaya hidup mewah sekadar nak menunjuk ke kawan-kawan kau. Padahal dalam bank kau simpanan tak sampai empat angka pun. Just be yourself. Belanja dan bergaya ikut kemampuan kau.

9. Bebas Daripada Hutang Jahat

Kau bijak memilih untuk berhutang. Kau tak berhutang demi perkahwinan yang gilang gemilang. Kau kau bijak menolak hutang iPhone 7, kau tak buat hutang sofa dekat Courts. Jauhi hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.

10. Mula Membina Keluarga

Saya percaya dengan adanya keluarga, kau mampu berubah daripada tak reti uruskan kewangan menjadi orang yang reti uruskan kewangan. Sebab kau ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Isteri, anak-anak, mak dan ayah.

Ye la, lagipun ada seseorang yang boleh membantu kau dan memberi kau sokongan. Carilah teman hidup yang membuat kau bahagia. Senyuman dia kebahagiaan kau. Cewah. Sesungguhnya perkahwinan itu membuka banyak pintu rezeki.

*Jika ada niat di hati dan usaha, pasti 10 matlamat ini akan tercapai sebelum berumur 30 tahun. Nombor 10 itu bonus, jika ada wang lebih dan calon bolehlah mendirikan rumah tangga. Apa yang penting, perlu tanamkan niat dalam hati dan kawal nafsu untuk berbelanja benda yang mewah. Tidak salah jika mahu berbelanjakan untuk diri sendiri tetapi jangan selalu. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Copy

Penulis: aqirah

Penulis di iLAbur yang suka berkongsi tentang ilmu dunia kewangan untuk generasi muda.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.