Bayangkan anda sedang memandu kereta dan asyik mendengar lagu tiba-tiba terdengar satu bunyi yang kuat. Anda berhentikan kereta di tepi jalan dan keluar mencari punca bunyi tersebut. Rupa-rupanya…tayar kereta anda meletup.

Bukan satu tetapi dua tayar sekali! OMG!!

Ketika menghadapi situasi ini, anda sudah pun habiskan gaji membayar semua komitmen bulanan. Duit dalam dompet pula cukup-cukup sahaja untuk bertahan sehingga gaji bulan hadapan.

Jadi, adakah anda seorang yang mula garu kepala memikirkan mana nak dapatkan duit untuk menukar tayar baru atau anda bersikap tenang sahaja kerana sudah ada dana kecemasan?

Apa itu Dana Kecemasan?

Dana kecemasan adalah peruntukan khas yang anda sediakan untuk menampung segala perbelanjaan di luar jangka. Selain situasi yang disebutkan di atas, contoh-contoh lain yang berpotensi terjadi kepada anda adalah seperti berikut:

  • Diberhentikan kerja secara mengejut melalui ‘VSS’
  • Anak sakit dan memerlukan rawatan segera di hospital swasta
  • Kebocoran paip rumah perlukan khidmat ‘waterproofing specialist’
  • Gigi geraham anda amat sakit dan perlu menjalani rawatan ‘root canal’
  • Syarikat bersama rakan kongsi bankrap akibat pecah amanah

Justeru itu, masa depan merupakan sesuatu yang tidak boleh dijangka. Boleh jadi kewangan hidup kita stabil dan tidak mustahil juga adalah sebaliknya. Bak kata pepatah, ‘malang tidak berbau’ .

Maka, apa yang kita boleh usahakan adalah melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi pelbagai situasi luar jangka.

Kelebihan Mempunyai Dana Kecemasan

Kawan ketika senang ramai, kawan ketika susah sedikit sekali.

Itulah realiti dan lumrah kehidupan. Walau bagaimanapun, dengan adanya dana kecemasan anda mempunyai kelebihan antaranya:

1. Kestabilan Kewangan

Ini mengelakkan anda daripada terjebak dengan kad kredit atau pinjaman peribadi. Jika tidak, kewangan anda akan menjadi lebih teruk kerana terpaksa menanggung kos kadar faedah yang tinggi.

2. Kekalkan Rasa Hormat Diri

Anda tidak perlu meraih simpati dengan meminjam daripada rakan dan menyusahkan keluarga dengan memajak gadai barang kemas warisan.

3. Keselamatan emosi

Anda tidak perlu rasa susah hati dan dapat menjalankan kehidupan seperti biasa tanpa memberikan kesan kepada prestasi kerja di pejabat.

Jumlah Dana Kecemasan Diperlukan

Nilai dana kecemasan anda pasti berbeza dengan orang lain. Ini kerana ianya bergantung kepada gaya hidup anda, kos bulanan, pendapatan, dan tanggungan.

Pakar kewangan biasanya mengesyorkan dana kecemasan perlu cukup untuk menampung perbelanjaan tiga hingga enam bulan. Tidak salah jika anda ingin mengumpulkan dana lebih daripada itu.

Taktik Membina Dana Kecemasan

Lima taktik ini akan membantu membina dana kecemasan sekaligus mengubah cara hidup anda. Seperti peribahasa orang putih “kill two birds with one stone”. Gitu!

1. Gantung ‘Vision Board’ Kewangan

Secara mudah, ‘vision board’ adalah poster atau papan buletin yang anda letakkan imej dan tulis kata-kata yang menggambarkan matlamat kehidupan ideal anda. Dalam kes ini, anda ingin mencapai satu nilai untuk dana kecemasan.

Satu kajian dari Universiti Dominika di California menunjukkan bahawa manusia jauh lebih cenderung untuk mencapai matlamat mereka jika mereka menulisnya.

Jadi, ‘vision board’ kewangan adalah cara terbaik. Selepas siap tampal imej dan tulis kata-kata yang berkaitan, gantung di tempat yang mudah dilihat. Dengan ini anda boleh kerap strukturkan pemikiran untuk menjadikannya realiti.

Selepas anda berjaya mengubah cara pemikiran, barulah anda boleh mengubah tabiat menyimpan.

 2. Jual Harta Karun

Terkejut? Setiap orang mempunyai barang yang disayangi. Bezanya, kebanyakan barang tersebut disimpan dan jarang digunakan. Itulah harta karun yang dimaksudkan.

Setiap barangan tersebut mempunyai nilai tersendiri. Apatah lagi sekiranya barangan tersebut dicari-cari oleh ‘collector’. Anda boleh menjual barangan tersebut di pelbagai platform ‘online’ seperti mudah.my, carousell, ebay, lelong.my dan banyak lagi.

Anda bukan sahaja perolehi duit untuk dana kecemasan tetapi seperti kata Marie Kondo anda juga telah mencipta ‘spark joy’ untuk rumah anda. ‘Less is more’.

3. Sertai Geng Kutu

Berdisiplin dalam menyimpan bukan mudah. Selepas beberapa bulan menyimpan, anda berasa takjub dengan jumlah dana yang semakin banyak. Ketika itu anda diuji dengan bisikan ‘sale~…shopping~…reward yourself~…’

Main kutu boleh mendisiplinkan diri anda. Walaupun ‘old-school’ tetapi ianya ‘evergreen’ dan berkesan. Sehingga kini masih popular terutama di tempat kerja.

Pastikan geng kutu anda adalah kumpulan kecil yang terdiri daripada orang yang anda percaya dan telah lama kenal. Ini dapat meminimakan risiko penipuan. Aturkan giliran menerima bahagian wang mengikut kesesuaian anda.

4. Kerja Kuasa Dua

Selain kerja hakiki, anda boleh cuba lakukan kerja lain untuk membantu meningkatkan dana bulanan. Anda boleh lakukannya selepas waktu kerja, hujung minggu atau masa lapang. Yang penting anda selesa.

Pada masa kini peluang kerja ‘freelance’ adalah meluas. Anda boleh menjadi penulis artikel, tutor, pemandu Grab, penghantar makanan Foodpanda dan banyak lagi. Cari kerja yang anda minat dan sesuai dengan kebolehan anda.

Wang tambahan yang sedikit-sedikit ini akan berkumpul dan menjadi banyak merentasi masa kelak. Dengan syarat, jangan usik!

5. Protokol Durian Runtuh

Sekiranya anda bekerja dengan syarikat, pastinya akan menerima bonus dan kenaikan gaji setiap tahun. Tidak salah bonus hasil penat lelah anda bekerja kuat digunakan untuk membeli barang idaman.

Cuma ketepikan sebahagian juga untuk dimasukkan ke dalam dana kecemasan anda. Anda perlu ‘play safe’ kerana bonus yang seterusnya adalah bergantung kepada prestasi syarikat.

Maka, perlu keseimbangan di antara keinginan dan keperluan menyimpan.

Prinsip Penggunaan Dana Kecemasan

Mudah untuk membelanjakan wang daripada dana kecemasan walaupun anda tidak menghadapi situasi luar jangka misalnya untuk percutian atau perancangan perkahwinan.

Sekiranya anda kurang pasti sesuatu situasi luar jangka itu perlu menggunakan dana kecemasan atau tidak, tanyakan kepada diri anda tiga soalan berikut:

  • Adakah perkara tersebut sememangnya tidak dijangka?
  • Adakah perkara tersebut sememangnya perlu?
  • Adakah perkara tersebut sememangnya penting?

Semakin banyak anda menjawab ya, kemungkinan anda berada dalam keadaan kecemasan dan boleh lah anda menggunakan wang dana kecemasan.

Tapi, jika sedang membeli belah sempena perayaan yang bakal menjelang dan ternampak ‘sale’ TV 55 inci, itu bukan situasi luar jangka…tetapi kehendak hati yang mengada-ngada!

Peringatan Kendiri

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘sediakan payung sebelum hujan’. Dana kecemasan merupakan sebuah payung dan anda perlu pastikan ianya cukup besar dan tidak bocor untuk melindungi diri anda daripada basah lencun apabila hujan.

Jangan tunggu lagi, bertindak segera membina dana kecemasan anda!

*Jemput juga baca artikel tentang dana pendidikan anak dan tips travel solo

Rujukan

1. Financial Vision Board https://www.1life.co.za/blog/financial-vision-board

2. Quick Guide To Your Emergency Fund https://www.daveramsey.com/blog/quick-guide-to-your-emergency-fund

3. Bersedia Untuk Kecemasan Kewangan https://ctoscredit.com.my/personal-ms/bersedia-untuk-kecemasan-kewangan/?lang=ms

Copy

Penulis: h. haniff

Seorang minimalis yang passionate berkongsi ilmu.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.