Jangan tak tahu, suri rumah (atau househusband pun ada) selain berjasa dalam menguruskan hal keluarga dan rumah tangga, mereka mempunyai superpower yang hebat dalam menguruskan kewangan kita!

Ada antara mereka tiada pendidikan yang formal pun dalam ilmu ekonomi atau perakaunan. Namun, mereka akan sentiasa memastikan bahawa pengurusan kewangan keluarga berada dalam keadaan yang tip top!

Sebagai suri rumah, apa lagi yang anda boleh buat untuk bantu jimatkan perbelanjaan seisi rumah?

Jom baca tips-tips cara jimat perbelanjaan dapur ini. Anda yang bukan suri rumah pun boleh amalkannya, atau bantu sebarkan kepada yang belum tahu.

#1 Catat aliran keluar masuk duit

Pemantauan sebegini sebenarnya diakui oleh ramai pakar kewangan dunia.

Anda boleh tahu perbelanjaan keluarga sebenarnya banyak ke arah mana, dan dari situ, anda boleh fikirkan cara untuk mengurangkannya.

Contohnya, perbelanjaan akan bertambah jika kerap kali anda sekeluarga pergi ke mall. Jadi, anda boleh kurangkan kekerapan itu dan gantikan dengan aktiviti keluarga yang lebih menjimatkan seperti berkunjung ke taman untuk riadah, menonton program tv bersama-sama dan sebagainya.

Selain itu, pemerhatian aliran kewangan ini akan membuatkan anda menilai semula kehendak vs keperluan dan juga sebagai tanda peringatan untuk bayaran-bayaran penting seperti bil bulanan, cukai tahunan dan komitmen hutang.

Untuk lebih mudah, ada banyak aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan.

#2 Menabung atau “Selit Duit”

Amalan menabung sangat bagus diamalkan terutamnya untuk kegunaan di waktu kecemasan.

Anda juga boleh menggalakkan ahli keluarga yang lain untuk sama-sama menabung dengan menyediakan tabung keluarga.

Untuk lebih mendisiplinkan diri, anda boleh menetapkan target tabung berwarna, contohnya tabung hijau iaitu setiap kali anda atau ahli keluarga menerima duit RM5, anda perlu memasukkannya ke dalam tabung.

Selain itu, amalan orang lama-lama yang suka selit duit di merata celah rumah boleh juga diamalkan.

Letak duit lebih di bawah alas meja, bawah tv radio, dalam laci dan sebagainya. Akan datang, anda akan rasa bersyukur sangat apabila menjumpai “duit selit” ini lebih-lebih lagi waktu keluarga anda tengah “kering.”

Tapi, jangan lupa terus lah ye mana anda selit duit tu!

#3 Tanam dan Masak Sendiri

Budaya berbudi kepada tanah ini sangat digalakkan kerana hasil tanaman boleh menjimatkan perbelanjaan dapur kita.

Anda boleh menanam tanaman seperti serai, pandan, daun kari dan sebagainya di dalam pasu.

Jangan terkejut jika anda ke pasar basah, harga seikat daun pandan pun boleh mencecah RM5.

Di samping memakan hasil tanaman sendiri ini, aktiviti memasak sendiri untuk hidangan sekeluarga merupakan langkah yang sangat menjimatkan.

Terutamanya apabila keluarga anda mempunyai perancangan balik kampung atau ke destinasi yang agak jauh, penyediaan bekal dari rumah akan menjimatkan perbelanjaan keseluruhan anda.

Harga jualan makanan di tempat pelancongan atau Rehat dan Rawat (RnR) memang dikenali sebagai cekik darah, bukan?

Makanan yang disediakan sendiri sudah tentu kebersihannya, malah menjimatkan duit poket sekeluarga lagi!

#4 3R

Reduce, Reuse dan Recycle merupakan slogan penjagaan alam sekitar yang menguntungkan kita khususnya suri rumah.

Reduce – pengurangan barangan bermaksud anda perlu mengurangkan pembelian sesuatu barang. Lebih-lebih lagi barangan yang sama seperti mainan anak-anak, pakaian yang boleh dikongsi dan makanan, selagi boleh elak daripada membelinya, kita kurangkan pembeliannya.

Reuse – bahan-bahan terpakai yang tidak terus dibuang boleh terus digunakan untuk tujuan lain. Banyak saluran video dan blog di internet yang boleh diakses untuk menunjukkan cara-cara kreatif penghasilan sesuatu barang daripada bahan yang tidak berguna lagi. Contohnya, pakaian anak kecil daripada baju dewasa, pasu bunga daripada bekas makanan atau botol besar, hiasan daripada kertas dan sebagainya.

Recycle – bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti besi, aluminium, tin minuman, botol, kertas dan kaca boleh dikumpulkan dan dijual kepada peraih kitar semula. Dapatlah duit poket sedikit daripada dibuang sahaja menjadi sampah.

#5 Pembelian barangan secara pukal dan semasa musim promosi

Pembelian barang secara banyak atau pukal sebenarnya memberi keuntungan kepada anda untuk jangka masa panjang.

Kebiasaannya, produk pukal seperti pek berkembar atau pakej besar ini dijual dengan harga lebih murah apabila kita bahagikan nilai keseluruhan dengan kuantiti barang, berbanding kita beli secara runcit, satu unit.

Selain itu, kita telah menjimatkan masa dan kos untuk sentiasa membeli keluar barangan.

Contohnya, ajinomoto pek besar 1kg dijual dengan harga RM10, manakala ajinomoto pek kecil 72 g dijual dengan harga RM2. Lebih jimat kalau beli yang 1kg, bukan?

Di samping itu, harga barangan akan menjadi lebih murah apabila tiba musim promosi seperti hari perayaan atau tarikh istimewa seperti tahun baru dan 11 November, sila rebut peluang untuk membeli barangan secara pukal pada waktu ini.

Tambah menguntungkan dengan membeli di platform atas talian seperti Shopee dan Lazada yang menawarkan lebih banyak penjimatan.

#6 Jimat penggunaan peralatan elektrik

Bil elektrik yang melambung tinggi boleh memeningkan kepala kita.

Sebagai suri rumah, anda boleh mendidik isi rumah untuk mengamalkan langkah penjimatan elektrik seperti menutup suis apabila tidak menggunakan sesuatu, membeli perkakas elektrik yang dilabel jimat tenaga dan cabut soket jika tidak menggunakannya.

#7 Bayaran bil dan perbankan

Sentiasa alert dengan komitmen bulanan seperti bayaran bil dan bank yang perlu dibayar sebelum tarikh tertentu untuk mengelakkan dikenakan bayaran interest tambahan.

Bayaran secara atas talian juga lebih memudahkan anda daripada kena keluar pergi ke kaunter.

#8 Gotong-royong rumah

Aktiviti menyihatkan ini selain dapat membersihkan kawasan dalam dan luar rumah, boleh memberi idea kepada anda untuk menjual barangan yang tidak diperlukan lagi tetapi masih dalam keadaan yang baik.

Kini, terdapat beberapa platform barangan jualan terpakai seperti Carousell dan Mudah yang boleh anda iklankan barangan anda.

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.