Biar papa asal bergaya. Kebanyakan anak muda sekarang suka memegang kepada prinsip ini. Mereka lebih suka nampak bergaya, nampak mewah sedangkan hutang keliling pinggang.

Anda pula macam mana? Jika anda tergolong dalam kategori orang yang banyak berhutang, belum terlambat untuk mengubah keadaan tersebut. Bagi yang belum terjebak dengan hutang, anda sangat beruntung.

Sebenarnya pengurusan kewangan tidak begitu sukar. Anda beruntung sebab muda-muda lagi sudah ada ilmu pasal pengurusan kewangan. Lagi cerah masa depan anda. Jangan sampai sudah bankrup, orang bank asyik telefon tak mahu angkat barulah cari jalan penyelesaian, baru kenal erti penyesalan. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna.

Belajar sedikit-sedikit. Simpan dan berbelanjalah secara berhemah. Dalam jangka masa panjang anda akan nampak hasilnya. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Jadi, apa tunggu lagi. Masih merenung nasib diri ke? Merenung tanpa buat apa-apa tindakan tak guna juga. Jangan kecewa dan sedih jika dilahirkan miskin, tapi berusaha lah berubah. Berikut merupakan 7 tips untuk elak dan keluarkan anda daripada menjadi hamba hutang untuk selamanya.

7 Cara Untuk Elak Jadi Hamba Hutang Selamanya

7 cara elak berhutang

Imej via Facebook

1. Semak Balik Gaya Hidup

Jika anda tidak mampu tambah pendapatan, anda kena kurangkan komitmen. Anda kena ubah gaya hidup. Biarlah orang lain cakap anda kedekut berbelanja asalkan anda tahu tangan kanan anda suka menderma.

Biarlah orang lain pakai kereta import mewah, anda pakai Axia saja. Biarlah orang lain bercuti dekat Eropah, anda pula bercuti dekat Pulau Langkawi saja.

Tidak perlu bermegah-megah ataupun pura-pura kaya semata-mata untuk dapatkan pujian. Syukur dengan apa yang ada, nanti rezeki akan lagi bertambah.

2. Jauhi Kad Kredit

Jika anda tidak pandai uruskan kad kredit jangan buat dan jangan guna. Jika sebulan terlepas bayar, profit bank akan naik. Ingat anda perlukan kad kredit saja, tak perlukan hutang kad kredit yang tertunggak. Jika pandai memanipulasi dan gunakan sebaiknya, sila teruskan.

Gunakan kad debit saja. Anda ada hutang PTPTN tapi bayar tak konsisten, jangan harap anda akan bayar kad kredit tepat pada masanya. Tambahan pula anda sibuk travel dan juga sibuk main Facebook je memanjang.

3. Sediakan Bajet

Semua orang tahu pasal buat bajet/belanjawan ini. Tapi sukar untuk laksanakan. Mulakan buat bajet ringkas seperti senaraikan semua komitmen/hutang yang perlu dibayar setiap bulan. Senaraikan perbelanjaan untuk sebulan dan juga kos sara hidup. Gunakan aplikasi My Tabung daripada BNM untuk memudahkan anda merangka bajet.

Jadilah orang yang bijak merancang. Dengan membuat bajet anda akan lebih mudah dan bijak untuk menguruskan kewangan. Sekurang-kurangnya anda tahu ke mana duit anda pergi.

4. Berhutang Yang Tidak Perlu

Fikir sekali lagi jika mahu berhutang semata-mata untuk majlis perkahwinan. 5 tahun bercinta, 50 kali makan tempat mewah, 70 kali bercuti bersama mencipta kenangan tapi langsung tak terfikir bina tabung kahwin?

Ternyata cinta tidak buta, tetapi anda buta kerana nasihat sampah pergi travel sana-sini pada usia muda. Sampai nak kahwin pun kena buat pembiayaan peribadi.

Jauhi juga pembiayaan peribadi jika mahu melabur dalam skim cepat kaya. Ataupun sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

5. Hidup Di Bawah Kemampuan

Anak muda sekarang baru kerja beberapa bulan saja sudah beli kereta import mewah. Terus buat kad kredit. Gaji ciput lagi, sedar-sedar lah diri. Cuba lah hidup di bawah kemampuan terlebih dahulu. Tangguhkan kehendak. Simpan dan teruskan menyimpan.

Ingatlah bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Anda boleh pilih mana yang anda nak. Nak hidup senang dulu atau nak susah dulu? Fikir-fikirkan ya..

6. Bayar Diri Sendiri Dahulu

Bila sudah dapat gaji ataupun pendapatan, terus tolak 10% daripada gaji tersebut. Simpan dan jangan guna. Jadikan ia sebagai tabiat menabung untuk kegunaan jangka masa panjang.

Jika terguna untuk beli kehendak, gantikan balik dengan 30% sebagai denda kepada diri sendiri. Apabila gaji mula meningkat, mulakan melabur di tempat yang diyakini dan terjamin. Antaranya unit amanah ataupun ASB Financing.

7. Bersedialah Menghadapi Situasi Bahaya

Malang tidak berbau. Kita sebagai manusia tak terlepas daripada ditimpa bencana ataupun kemalangan. Jadi, kita perlu bersedia dengan perlindungan takaful. Peruntukan RM 100 – RM 300 untuk membuat perlindungan takaful dan medikal kad.

Jangan abaikan takaful. Lagi kalau anda jenis suka merokok, hisap vape, tiap malam minggu melepak, malas bersenam, tidur tak cukup, air masak kurang nak minum. Jadi, pandai-pandai lah ambil medikal kad sebelum terlibat dengan apa-apa kemalangan. Beringat sebelum kena.

 

Penulis: Amir Syahir

Amir Syahir

Rajin berkongsi ilmu hartanah, pengurusan kewangan, tips ASBF dan ilmu yang bermanfaat. Ikuti lagi tips-tips menarik tentang ASBF terutamanya di Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.