16 Jenis Pengeluaran KWSP Malaysia Ramai Tidak Tahu

Pening mencari duit tunai untuk pelaburan?

Tahu tak duit KWSP boleh dikeluarkan lebih awal daripada sepatutnya?

Tidak tahu? Nah, ini info lengkap tentang 16 jenis pengeluaran KWSP  Malaysia yang boleh anda buat.

Kita kenali KWSP atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai simpanan semasa anda sudah bersara daripada kerja anda. Namun, tahukah anda bahawa anda boleh mengeluarkan wang KWSP anda lebih awal daripada tarikh usia persaraan?

Ia juga boleh dikeluarkan untuk tujuan selain daripada sekadar simpanan hari tua.

Berikut adalah jenis-jenis pengeluaran KWSP yang boleh anda lakukan:

 

KWSP Malaysia
Imej via Rojakdaily

Pengeluaran umur 50 tahun

Apabila ahli mencapai umur 50 tahun, mereka boleh mengeluarkan semua atau sebahagian wang simpanan dari Akaun 2. Permohonan boleh dibuat sekali sahaja. Bayaran akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun bank ahli.

Sediakan apa?

  • Bawa MyKad (warganegara) atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL) dan hantar ke KWSP.

Pengeluaran umur 55 tahun

Pengeluaran boleh dibuat sebelum ahli mencapai usia 55 tahun. Jika permohonan dibuat setelah usia mencapai 55 tahun, bayaran akan dibuat selepas tarikh permohonan diluluskan.

Anda boleh mengeluarkan kesemua simpanan atau sebahagian simpanan, atau secara bayaran bulanan, atau kombinasi di antara sebahagian simpanan dan bayaran bulanan. Bayaran akan dikreditkan ke akaun ahli.

Sediakan apa?

  • Bawa MyKad (warganegara) atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL) dan hantar ke KWSP.

Pengeluaran umur 60 tahun

Pengeluaran ini adalah menyamai pengeluaran bagi usia 55 tahun. Ia merupakan peluasan kepada pengeluaran usia 55 tahun dengan umur persaraan minimum 60 tahun.

Sediakan apa?

Bawa MyKad (warganegara) atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL) dan hantar ke KWSP.

Pengeluaran mengurang atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan

Rumah yang dibeli secara individu mahupun bersama layak menggunakan wang dari Akaun 2.

Ada syarat-syarat yang ditetapkan oleh KWSP dalam pengeluaran ini seperti ahli mengambil pinjaman perumahan daripada institusi yang dibenarkan, ahli masih mempunyai baki pinjaman dengan institusi terbabit, dan ahli telah didaftarkan sebagai pemilik rumah terbabit.

Sediakan apa?

  • Bawa MyKad atau isi Borang Permohonan KWSP 9C (AHL)
  • Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format yang ditetapkan KWSP atau Penyata Baki Pinjaman
  • Perumahan dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang tarikhnya tidak melebihi 3 bulan dari tarikh permohonan diterima.
  • Surat Nikah atau Sijil Perkahwinan atau Sijil Kelahiran Anak untuk pasangan

Pengeluaran hilang upaya

Ahli yang tidak berupaya dari segi fizikal atau mental atau kehilangan keupayaan fungsional kekal untuk memperoleh pekerjaan (employability).

Permohonan mestilah disokong oleh laporan perubatan yang dibuat tidak lebih enam bulan dari tarikh permohonan diterima yang dikeluarkan oleh hospital yang merawat ahli.

Ahli juga mestilah tidak lagi bekerja semasa permohonan dibuat selain perlu menghadiri temuduga yang dijalankan oleh KWSP.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9L (AHL)
  • Laporan Perubatan Pakar/ Bukan Pakar dari hospital/klinik kerajaan atau swasta.
  • Surat Berhenti Kerja daripada majikan sekiranya ada bagi ahli yang berhenti kerja dalam tempoh setahun dari tarikh permohonan.

Pengeluaran meninggalkan negara

Ini adalah kemudahan bagi mereka yang telah meninggalkan atau melucutkan taraf kewarganegaraan untuk berhijrah ke negara lain.

Ia juga adalah untuk mereka yang bukan warganegara Malaysia yang telah berhenti kerja di Malaysia dan akan meninggalkan Malaysia.

Sediakan apa?

  • Passport, Permit Kerja, Bukti Penamatan Kerja
  • Isi Borang Permohonan KWSP 9K (AHL)

Pengeluaran pendidikan

Ahli boleh mengeluarkan wang dari Akaun 2 untuk membiayai yuran pengajian ahli atau anak ahli. Ini juga tidak terhad kepada anak tiri dan anak angkat sama ada di institusi pengajian tinggi atau di luar negara.

Syaratnya adalah pengajian mestilah di IPT yang dibenarkan bermula dengan pengajian Diploma sama ada sepenuh masa atau separuh masa.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9H (AHL)
  • Surat Tawaran Belajar
  • Surat Pengesahan Pendaftaran Pelajar yang asal
  • Surat Kelulusan Pengiktirafan Kursus Pengajian
  • Salinan Keputusan Peperiksaan Terkini (pelajar IPTA dikecualikan)
  • Borang Temuduga
  • Bukti Kelayakan Mengikut Pengajian
  • MyKad anak dan dokumen bukti pertalian sekiranya ahli mengeluarkan wang untuk pendidikan anak-anak.

Pengeluaran pekerja berpencen dan pengeluaran pesara pilihan

Ini adalah untuk ahli yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan diberi taraf pekerja berpencen. Ahli mestilah disahkan taraf pekerja berpencen dari JPA. Tapi, jika ahli adalah anggota tentera yang bersara, maka ahli tidak layak memohon.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9N (AHL)
  • Lampiran A – Notis Akaun Pelepasan Caruman Kerajaan Berhubung Dengan Pengeluaran Pekerja Berpencen.
  • Bukti Pengesahan Taraf Pesara

 

Skim pelaburan ahli

Skim ini membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan.

Pengeluaran yang dibenarkan ialah tidak melebihi 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9N (AHL)

 

Pengeluaran membina atau membeli rumah

Ahli boleh mengeluarkan wang simpanan dari Akaun 2 untuk membiayai pembelian rumah atau membina sebuah rumah kediaman.

Pinjaman perumahan mestilah daripada institusi yang dibenarkan dengan surat perjanjian jual beli tidak melebihi 3 tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP.

Ahli juga mestilah tidak pernah membuat pengeluaran perumahan sebelum ini. Membeli tanah sahaja tidak layak untuk kemudahan ini.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9C (AHL)
  • Surat Perjanjian Jual Beli (tidak melebihi 3 tahun dari tarikh permohonan)
  • Surat Kelulusan Pinjaman Perumahan (sekiranya kelulusan kurang daripada setahun)
  • Surat Perjanjian Bina Rumah (tidak melebihi 3 tahun dari tarikh permohonan)
  • Surat Hakmilik Tanah atas nama penjual/pemilik tanah

 

Pengeluaran simpanan melebihi RM1 juta

Jika ahli mempunyai simpanan melebihi RM1.05 juta, dia boleh mengeluarkan lebihan simpanan berkenaan untuk diuruskan sendiri oleh ahli.

Maka, amaun minima pengeluaran adalah sebanyak RM50,000 dari Akaun 2 dan jika tidak mencukupi akan diambil dari Akaun 1. Pengeluaran boleh dibuat 3 bulan sekali tetapi perlu membuat permohonan setiap kali pengeluaran.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL)

 

Pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan

Ini adalah untuk membiayai ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi tujuahn pembelian atau pembinaan rumah. Hanya Akaun 2 yang boleh digunakan. Simpanan adalah untuk membayar pinjaman ansuran sebenar yang telah bermula.

Sediakan apa?

  • MyKad (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9P (AHL)
  • Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format yang ditetapkan KWSP atau Penyata Baki Pinjaman Perumahan dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dengan tarikh penyata tidak melebihi 3 bulan dari tarikh permohonan diterima)

 

Pengeluaran kematian

Jika ahli menninggal dunia, maka penama, wasi, pentadbir pusaka atau waris terdekat ahli boleh mengeluarkan wang KWSP ahli. Walaupun begitu, pemohon wajib berumur 18 tahun dan merupakan penama akaun ahli.

Sediakan apa?

  • Sijil Kematian Ahli
  • MyKad dan isi Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL)

 

Pengeluaran kesihatan

Simpanan Akaun 2 boleh dikeluarkan untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal dan pembelian peralatan bantuan kesihatan bagi penyakit yang dihidapi ahli atau ahli keluarga yang dibenarkan.

Peralatan mestilah yang diluluskan oleh Lembaga KWSP. Laporan perubatan dan bil mesti tidak melebihi 1 tahun dari tarikh permohonan dikemukakan. Bil mestilah di atas nama pesakit atau pemohon.

Sediakan apa?

  • MyKAd (warganegara) dan isi Borang Permohonan KWSP 9D (AHL)
  • Laporan Perubatan asal dari institusi perubatan
  • Surat Pengesahan Majikan mengenai tanggungan kos rawatan
  • MyKad pesakit
  • Bukti pertalian antara pemohon dan pesakit jika pemohon bukan pesakit.
  • Bil Rawatan pesakit luar/discaj wad (final bill) dan resit bayaran asal dari pusat perubatan.

 

Pengeluaran haji

Ini adalah bagi menampung perbelanjaan asas mengerjakan Haji dan bukan keseluruhan kos perbelanjaan Haji. Ahli yang mahu mengerjakan haji kali kedua juha layak memohon. Begitu juga kepada ahli yang tidak mempunyai wang yang cukup di dalam simpanan Tabung Haji. Hanya Akaun 2 dibenarkan.

Sediakan apa?

  • MyKad
  • Surat Tawaran berstatus TERPILIH daripada LTH
  • Buku akaun simpanan ahli di LTH yang telah dikemaskini dalam tempoh 6 bulan.

 

Pengeluaran perumahan fleksibel

Tujuannya adalah untuk membolehkan ahli mendapatkan pinjaman perumahan yang lebih tinggi. berdasarkan konsep ini, caruman bulanan kepada KWSP dianggap sebagai pendapatan.

Sediakan apa?

  • Dapatkan pengesahan pihak institusi kewangan mengenai maklumat pinjaman, pembelian/ pembinaan rumah dan hadangan simpanan.
  • Permohonan diserahkan melalui institusi kewangan
  • Pengeluaran mesti dipohon bersama-sama pengeluaran membeli/membina rumah dan pengeluaran mengurang/menyelesaikan baki pinjaman.
  • Dokumen yang diperlukan adalah mengikut status pengeluaran dan jenis harta yang dinyatakan di laman web KWSP.

 

Pengeluaran perumahan PR1MA

Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan wang simpanan untuk membiayai pembelian rumah PR1MA dan bayaran dibuat terus kepada institusi kewangan

Sediakan apa?

  • Daftar dan mohon Perumahan PR1MA
  • Terima Surat Tawaran Pembelian daripada PR1MA
  • Ahli ke institusi kewangan untuk urusan pinjaman perumahan
  • Ahli membuat permohonan hadangan simpanan, pengeluaran PPP, penstrukturan semula, dan pembatalan hadangan simpanan.
  • Institusi kewangan mengesah dan menghantar permohonan ahli ke KWSP.

Kesimpulan

Ya, demikianlah 16 jenis pengeluaran yang boleh dibuat. Bagi kami di Ilabur, kami harapkan pengeluaran yang dibuat digunakan pada tempat yang sepatutnya.

Maklumlah, duit tersebut sebenarnya merupakan dana persaraan di hari tua nanti.

Share dan simpan maklumat ini untuk kegunaan masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut boleh klik sini KWSP